Program
ini dilaksanakan untuk membantu adik-adik yang berada dalam Baitul Ehsan
menyedari bahawa, bukan semua tak sayang, bukan semua tak boleh terima dan
bukan semua nak menghukum mereka atas dosa-dosa yang lepas. Tapi, betulkah?
Sebelum
tiba, sebagai seorang insan yang tidak pernah mengenali insan-insan lain yang
berada di sebalik dinding berkawat besi ini, pastinya diri ini terasa takut dan
macam-macam pemikiran tidak baik mula bersarang. Saya berfikir adik-adik ini
akan menjadi seorang yang defensif, enggan bekerjasama, diam dan memberontak
terhadap aktiviti yang kami lakukan nanti. Kerana, tujuan kami datang sebenarnya
untuk memenuhi keperluan subjek kami sebagai bakal guru kaunseling. Buat
sesiapa yang tdak tahu apa itu Baitul Ehsan, ianya merupakan sebuah tempat atau
institusi khas bagi pesalah bawah umur (lelaki). Sebagai seorang perempuan dan
seorang kakak, saya dapat membayangkan bagaimana agresifnya seorang adik lelaki
yang “ dikurung” di tempat seperti ini.
Setibanya
di sana, kami menuju ke sebuah dewan besar yang suasananya sangat sepi. Apabila
kami melangkah ke dalam, kelihatan lah adik-adik yang ramai menenggelami jumlah
kami sudah seramai 60 orang. Pasti anda dapat bayangkan bukan? Namun begitu,
hati saya terasa sebak apabila melihat cara mereka berdiri rapi mengikut
barisan, pakaian seragam yang berbeza mengikut tempoh mereka menduduki tempat
itu. Mereka digelar penghuni dan wajah-wajah mereka sama sekali tidak bengis
seperti yang aku sangkakan pada mulanya. Apabila terpandang seorang dua
penghuni yang kelihatannya agak agresif dan mukanya masam mencuka. “Mungkin dia
tak suka kami datang kot”. Kata saya dalam hati. Bermulanya aktiviti pertama, saya
dapat melihat mereka agak tidak senang dengan cara yang lebih menyerupai bentuk
“arahan”. Saya ditugaskan duduk bersama sepuluh orang adik-adik penghuni yang berusia
17 tahun. Sebaya dengan adik saya yang sedang bersekolah di tingkatan empat
pada masa itu. Riak wajahnya memperlihatkan, mereka risau sebenarnya. Risau akan
pandangan kami terhadap mereka, risau apa cerita yang akan dibawa keluar pula
nanti oleh kami. Mereka tahu tujuan kami datang ke sana, ya mereka tahu.
“Selalu
juga kak, orang datang tanya kami cerita kami, kami dah biasa, kami okay aje”. Katanya
lagi dengan pandangan mata yang tunduk ke bawah.
Ucapan
daripada seorang remaja lelaki yang nampaknya dah redha kami datang untuk
bersama mereka seharian dan meninggalkan mereka untuk digantikan oleh ‘kakak
abang’ yang lain pula nanti. Untuk pengetahuan pembaca, mereka akan berada di sana
sekurang-kurangnya 3 tahun lagi. Mereka akan keluar pada usia 21 tahun. Kesalahan
adik yang bersama ku ini, adalah pil kuda. “Pening dan seronok rasanya kak,
lupa semua masalah yang ada di rumah dan di sekolah.” Saya tersenyum
mendengarnya, kasihan mereka kataku dalam hati, tidak ada sesiapa yang sudi
membantu mereka meringankan bebanan yang tidak tertanggung. Juraian air mata
berganti senyuman yang kelat menceritakan bagaimana mereka boleh berada di
sana, macamana kehidupan mereka setakat itu dan ibu ayah juga tak pernah
memunculkan diri. Walaupun di hari-hari cuti. Apabila mereka telah mulai
menerima kehadiran kami, mereka menyanyikan lagu untuk kami dan berkata lagi “
Akak datanglah lagi, jangan tak datang tau?”, “Esok akak datang lagikan kak?”. Itulah
pernyataan yang keluar daripada mereka sebelum kami pergi lagi meninggalkan
mereka pula. Sedih menyelubungi suasana kami ketika itu, aku terfikir
rupa-rupanya mereka ini semua sama sahaja dengan adik-adik aku yang sedang
bersekolah itu, hidup mereka juga sama seperti kami, tapi mengapa mereka boleh
berada di sana? Soalan itu juga dijawab oleh mereka,
“Kami
insan terpilih, Allah nak bantu kak. Kami nanti akan cuba bantu kawan-kawan
lain juga yang masih lagi terjebak dengan gejala dadah dan pil kuda.”
Saya
berasa kagum dengan system sekolah yang dapat membantu adik-adik ini bukan
sahaja menyesali perbuatannya tetapi juga boleh mencapai kesedaran seperti ini
yang dapat melindungi dirinya daripada pandangan dan kritikan daripada pihak
luar yang mungkin pesimis terhadap golongan seperti ini. Tetapi tidak pernah
terfikir akan tangunngjawab masing-masing. Saya dapat simpulkan satu daripada
banyak-banyak benda yang mereka laksanakan sebelum itu mereka sebenarnya menerima
sepenuhnya tanpa syarat, walau sesiapun yang berada di Baitul Ehsan itu.
Apabila
naik ke dalam bas, hati saya terasa ada kekosongan, banyak yang saya fikirkan. Saya
teringat adik lelaki saya yang sedang berseronok bersama rakan-rakannya di
sekolah. Mereka tidak mendapat semua itu, belajar bersama-sama rakan-rakan
sebaya lain di sekolah biasa, mengikuti program sehingga peringkat
antarabangsa, Ya Allah banyak sungguh apa yang mereka tertinggal. Tapi,
beberapa ketika mereka berada di sana banyak memberikan mereka nilai baru dalam
diri dan hidup mereka yang remaja lain mungkin tidak berpeluang untuk mendapatkannya
dalam kehidupan biasa sekalipun. Dalam hati saya berharap agar mereka menjadi
insan yang Berjaya setelah keluar dari sana, dapat meneruskan pembelajaran dan
cita-cita mereka ke peringkat seterusnya.
Anda
yang berada di luar sana, ibu ayah, bakal ibu ayah, bakal guru, dan paling
penting sekali insan. Apakah anda tidak merasa sedih melihat remaja di luar
sana terperosok jauh ke lembah yang gelap tiada berpenghujung? Dengan perjalanan
ke sana saya berazam untuk menjadi seorang guru yang mampu melindungi anak-anak
muridnya nanti daripada perkara yang tidak diingini seperti ini. Tapi siapalah
saya, hanya seorang pelajar yang berharap dan akan terus berusaha agar
pengalaman saya selama 4 tahun berada di sini akan berhasil menjadikan saya
seperti yang saya impikan.

No comments:
Post a Comment